Dr Auto ILPKL adalah merupakan cetusan idea Pengarah ILP Kuala Lumpur Eng. Kamaruzaman Bin Hj. Md. Ali dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti latihan serta kebolehpekerjaan graduan ILPKL khususnya di bidang Automotif. Selain daripada mendedahkan pelajar kepada situasi pekerjaan sebenar,
Dr Auto ILPKL juga menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan kepada komuniti setempat dengan kos yang berpatutan. Kerja – kerja pembaikan kenderaan akan dijalankan oleh para pelajar di bawah pengawasan pengajar pakar yang telah berkhidmat sebagai pengajar di antara 5 hingga 25 tahun. |
Premis Dr Auto ILPKL yang terletak di bangunan bengkel Automotif ILPKL telah dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Datuk Chin Phaik Yoong pada 23 September 2014. Pada peringkat awal penubuhannya Dr Auto ILPKL hanya menawarkan kursus kemahiran penyelenggaraan kenderaan untuk kakitangan di bawah Kementerian Sumber Manusia secara percuma serta menjalankan kerja – kerja pembaikan ringan pada setiap hari Jumaat.
|
Untuk melengkapkan pelajar dengan ilmu pemasaran yang menjadi nadi kepada sesebuah perniagaan, Jabatan Tenaga Manusia dengan kerjasama MDEC telah memperkenalkan modul eUsahawan. Melalui modul ini pelajar akan diajar mengenai cara untuk memanfaatkan platform digital seperti Google My Bussiness, google trend , facebook ads dan
blog untuk memasarkan produk atau perkhidmatan. Selain dari itu pelajar akan turut didedahkan dengan teknik pengurusan perniagaan yang betul.
Selain daripada membaiki kenderaan, Dr Auto ILPKL juga bersedia untuk melatih dan mempersijilkan pekerja – pekerja industri yang berminat untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia melalui kaedah Pentauliahan Terdahulu (PPT).
Dr Auto ILPKL juga telah dilengkapi dengan makmal kenderaan hibrid dan elektrik yang menempatkan peralatan asas untuk menjalankan kursus penyelenggaraan kenderaan hibrid dan elektrik. Ini adalah merupakan persediaan awal Jabatan Tenaga Manusia untuk menawarkan kursus EEV-HYBRID SYSTEM tahap 2 & 3 di masa akan datang. Makmal yang terletak di bangunan Syed Mohamad Noor Excellence Center (SyMNEC) telah dirasmikan oleh Tuan Syed Mohamad Noor Syed Mohd Ali, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Tenaga Manusia pada 26 Januari 2017.
Bermula dari Januari 2020, Dr Auto ILPKL dengan kerjasama Estrada Lube dan Estrada Auto telah diberikan kepercayaan untuk memasarkan produk keluaran Pulzar Oil.